Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan taktik scammer terbaharu yang mana ia menggunakan modus operandi pura-pura culik dan minta wang tebusan.
Kes yang terjadi kepada seorang mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 18 tahun selepas scammer memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mengarahkan mangsa supaya berpura-pura menjadi mangsa culik.
Scammer dipercayai menghubungi mangsa dan memintanya untuk datang ke sebuah lokasi berhubung satu kiriman bungkusan berisi dadah atas namanya.
Mangsa kemudian diperdaya untuk membayar sejumlah RM283,000 dalam beberapa transaksi, dan selepas itu mangsa diarah untuk menyembunyikan diri, seolah-olah diculik.
"Sebanyak empat transaksi pembayaran dibuat sendiri oleh mangsa bermula 30 September hingga 3 Oktober tanpa pengetahuan ibu bapanya.
"Setelah tidak lagi mempunyai wang simpanan, suspek mengarahkan mangsa melarikan diri dari rumahnya dan bersembunyi di sebuah rumah inap di Shah Alam, Selangor," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Mohd Shuhaily memberitahu, selepas mangsa melarikan diri, suspek menghubungi ibu bapa mangsa dan meminta tebusan sebanyak RM300,000.
Susulan panggilan itu, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis lalu berjaya menahan dua lelaki berusia 24 dan 32 tahun dalam dua serbuan berasingan dan 'menyelamatkan' mangsa.
Ujar beliau, suspek pertama yang dipercayai mengeluarkan duit berkenaan ditahan di Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu dan susulan penahahan lelaki itu, polis menahan seorang lagi suspek.
"Pemeriksaan juga mendapati, mereka tidak pernah berjumpa antara satu sama lagi," ujarnya.
Sumber: Astro AWANI