Suntikan 'Booster' Dijangka Diberi Bermula Oktober

Suntikan dos ketiga atau ‘booster’ bagi golongan rentan dan berisiko dijangkiti COVID-19 dijangka akan dimulakan menjelang Oktober ini.

suntikan 'booster' dijangka diberi bermula oktober

Perkara tersebut dikongsikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi seperti mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan imun serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

“Kita akan buka kepada golongan ini dahulu kerana berdasarkan data kematian, data kategori 5 yang masuk ke ICU (unit rawatan rapi), kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan tersebut, warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya.

“Pemberian dos ketiga atau (dos) penggalak itu juga tidak bermaksud pemberian dua dos vaksin sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia adalah bagi meningkatkan sistem imun,” jelas beliau.

Lanjut Khairy lagi, banyak negara telah memulakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 dan antaranya termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.

Kementerian Kesihatan (KKM) bagaimanapun, menurut Khairy masih belum membuat keputusan sekiranya dos penggalak bakal diberikan kepada keseluruhan populasi di Malaysia.

“Perkara ini masih dalam perbincangan. KKM juga ketika ini sedang melakukan perbincangan dengan pakar dalam menentukan kumpulan usia individu yang akan menerima dos itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengarahkan semua syarikat pengeluar vaksin bagi menghantar maklumat lanjut kepada Bahagian Regulatori Farmasa Negara (NPRA), bertujuan menentukan jenis vaksin yang boleh diberikan kepada dos penggalak.

“Buat masa ini, kita sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin untuk didaftar di bawah NPRA, dos ketiga ini perlu mendapat kebenaran NPRA, sebab NPRA hanya bagi kebenaran contohnya kepada Pfizer, AZ (AstraZeneca), Sinovac (hanya dibenarkan diberi) dua dos sahaja,” kata beliau.

 

Sumber: [1]