Projek pembangunan semula kompleks Stadium Shah Alam yang menempatkan Stadium Shah Alam baharu akan bermula hujung tahun ini.
Menurut laporan, kos pembangunan dianggarkan bernilai antara RM700 juta hingga RM1 bilion itu mungkin akan dilaksanakan melalui pertukaran tanah dengan kerajaan negeri Selangor.
“Berakhirnya pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang menyaksikan pengekalan status quo, meredakan ketidaktentuan politik yang membayangi sektor pembinaan selama ini.
“Melangkah ke hadapan, kerajaan pusat berkemungkinan akan mengukuhkan kedudukannya dengan menumpukan segala usaha ke arah melaksanakan program-program prasarana, dan menjalankan agenda pembaharuannya.
“Kemajuan pembangunan projek peringkat negeri mungkin akan bertambah. Projek yang dibiayai kerajaan seperti pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam mungkin akan mula berjalan pada suku keempat," kata Penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim.
Terdahulu, satu tangkap layar tersebar di media sosial mendedahkan kos pembinaan Stadium Shah Alam boleh mencecah sehingga RM3.28 bilion. Bagaimanapun Menteri Besar Selangor berkata, angka itu adalah cadangan daripada pihak pemaju dan kos pembinaan masih kekal antara RM800-900 juta seperti dimaklumkan tahun lalu.
“Mereka mengatakan kos pembinaan stadium mencecah RM3.2 bilion berdasarkan satu tangkap layar. Ini adalah salah! Kos pembinaan stadium baharu masih kekal di antara RM800-900 juta seperti yang saya umumkan pada tahun 2022.
“Angka RM3.2 bilion tersebut merupakan cadangan pemaju bagi membangunkan keseluruhan 70 ekar kawasan sekeliling termasuk pembinaan hotel, teater tertutup, stesen bas dan pusat rekreasi belia,” ciap Datuk Seri Amirudin Shari.
**
Sumber: Sinar Harian