Satu kajian berhubung keberkesanan dua dos vaksin COVID-19 yang dijalankan di Guangzhou, China baru-baru ini menunjukkan ia berupaya memberikan perlindungan lengkap bagi menentang varian Delta.
Menurut Pakar Vaksin Pharmaniaga Berhad Dr Ajit Pal Singh, kajian yang diketuai Zhong Nanshan merangkap Pakar Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangzhou itu dijalankan terhadap vaksin CoronoVac keluaran Sinovac Biotech Ltd dan vaksin SARS-CoV-2 keluaran China National Biotech Group.
Hasil kajian mendapati bahawa kedua-dua lebih berkesan dalam kalangan pesakit COVID-19 bergejala sederhana berbanding yang bergejala ringan.
“Kajian mendapati dua dos vaksin itu mencapai 59% efikasi dalam menentang COVID-19 yang disebabkan oleh varian Delta dengan 70.2% efikasi bagi kategori penyakit respiratori sederhana dan 100% efikasi bagi kes teruk.
“Berdasarkan maklumat ini, hasil kajian didapati melebihi nilai ambang efikasi 50% yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi mana-mana vaksin SARS-CoV-2,” kongsinya dalam artikel yang dikeluarkan agensi berita tempatan.
Kajian tersebut melibatkan peserta termasuk 153 pesakit COVID-19 yang dijangkiti varian Delta dan 475 kes kontak rapat di bandar tersebut yang berumur lingkungan 18 hingga 59 tahun.
Sumber: [1]