Diam tak diam, lagu tempatan, Sifar dipilih sebagai pemenang kategori “Music is Key” pada International Media Festival for Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada.
Lagu terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan hasil kerjasama komposer muda, Asfan Shah, Lady D dan Tripdisz serta penyanyi rap, Kmy Kmo.
Festival media setiap tiga tahun itu bertujuan bagi memberi pengiktirafan kepada filem dan hasil multimedia yang bertemakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Lagu ini juga pernah dijadikan runut bunyi (OST) filem Warkah tahun 2019 yang mengangkat mesej meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan keselamatan sosial.
Penyanyi rap, Kmy Kmo bersyukur lagu Sifar dapat pengiktirafan antarabangsa biarpun menghadapi cabaran besar dalam menghasilkan liriknya.
Ini kerana ia tidak boleh dibuat-buat dan perlu beri tumpuan kepada tajuk, isi dan topik berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Komposer, Asfan Shah pula sifatkan karya ini tidak akan terhasil jika tanpa kerjasama Lady D, Tripdisz dan Kmy Kmo.
Katanya, penciptaan kali ini memang berbeza kerana dia kebiasaannya banyak menghasilkan lirik untuk lagu-lagu cinta dan balada.
Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO, Dr Azlan Darus dalam pada itu berkata, kemenangan itu merupakan penghargaan tertinggi buat mereka.
Ini merupakan kali ketiga PERKESO menyertai festival itu dan pernah mendapatkan tempat ketiga di Turki pada 2011.
Beliau amat berbesar hati, kerana juri antarabangsa memahami lirik dan mesej yang hendak disampaikan dalam lagu Sifar.
PERKESO menyelitkan konsep Vision Zero di dalam lirik lagu ini yang merupakan satu pendekatan strategik terhadap usaha pencegahan kemalangan di tempat kerja.