Serba Lengkap Berpakaian PPE Ketika Rentas Sungai, Uruskan Jenazah COVID-19

Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tampil memberi bantuan dengan menyediakan bot untuk pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang dikebumikan di Pulau Torong Kibing.

serba lengkap berpakaian ppe ketika rentas sungai, uruskan jenazah covid-19

Ia berikutan tiada laluan darat yang dapat membawa ke tanah perkuburan tersebut.

Memetik laporan Astro Awani, jenazah yang dibawa mereka ialah seorang wanita warga emas berusia 87 tahun yang meninggal dunia pada Isnin lalu akibat jangkitan COVID-19.

Berikutan itu, anggota APM Tuaran yang terlibat mengenakan pakaian pelindung diri (PPE) lengkap atas tujuan melindungi diri sepanjang tempoh perjalanan merentasi sungai bagi membawa jenazah tersebut ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Betutai.

Turut terlibat sama dalam operasi tersebut ialah kakitangan KKM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

"Pesakit yang meninggal dunia pada Isnin lalu itu mahu dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak di kawasan Pulau Torong Kibing iaitu tiga kilometer dari Kampung Betutai.

"Disebabkan tiada laluan darat ke tanah perkuburan berkenaan, pihak KKM meminta bantuan anggota APM Tuaran dengan menaiki bot bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan," kata Pegawai APM Tuaran, Leftenan Paulina Francis.

"Tempat pengebumian telah disediakan oleh penduduk kampung dan anggota APM membantu untuk menurunkan dan seterusnya mengebumikan jenazah sehingga urusan selesai kira-kira jam 11.30 pagi," tambah beliau.

 

Sumber: [1]