Sarawak merekodkan penurunan konsisten yang paling ketara dari segi jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori 3 hingga 5 ke hospital awam berbanding negeri-negeri lain.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, negeri pertama yang melaksanakan dos penggalak itu melihat penurunan tersebut sejak pelancaran program pemberian dos penggalak yang diadakan pada 13 Oktober lalu.
“Berdasarkan data yang dikeluarkan JKJAV setakat 28 November 2021, Sarawak juga adalah negeri yang mempunyai jumlah kumulatif dos penggalak paling tinggi di Malaysia dengan 630,251 dos diikuti oleh Selangor (411,126 dos) dan Kuala Lumpur (236,024 dos).
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan dos penggalak yang dapat melindungi individu dari jangkitan yang lebih teruk dan seterusnya menyumbang kepada penurunan kes-kes COVID-19 kategori 3 hingga 5,” jelasnya.
Lanjutnya, walaupun 77.7 peratus rakyat Malaysia telah lengkap divaksinasi, tetapi kajian terbaru menemukan tahap imuniti akan menurun selepas beberapa bulan divaksinasi.
“Oleh yang demikian, KKM menggesa agar individu yang layak dan telah mendapat tarikh janji temu dos penggalak COVID-19 untuk hadir bagi menerima suntikan tersebut.
“Teruskan lindungi diri anda untuk melindungi kita semua,” katanya.
Sumber: [1]