Ramai antara kita pasti beranggapan sudah tahu segala-galanya tentang badan manusia, namun penemuan demi penemuan dalam kajian saintifik membuktikan banyak lagi yang masih dalam tanda tanya.
Sekumpulan saintis dari Belanda secara tidak sengaja pernah menemui satu organ baharu dalam badan manusia, ketika mereka sedang mengkaji tentang kanser prostat.
Organ yang tidak pernah dijumpai itu terletak dibahagian bawah hidung manusia, atau lebih tepat pada belakang hidung kita.
Segalanya bermula selepas saintis yang mengkaji kanser prostat menjalankan satu siri imbasan CT dan PET ke atas pesakit yang disuntik glukosa radioaktif yang menjadikan tumor bersinar pada imbasan.
Pasukan di Institut Kanser Belanda menyedari bahawa dua kawasan di dalam kepala pesakit menyala dan mendapati bahawa satu set kelenjar air liur tersimpan di sana.
Dari situ, barulah mereka sedar akan satu organ baharu yang disebut sebagai tiub kelenjar air liur.
Fungsi tiub kelenjar ini adalah untuk memastikan kawasan tekak di belakang hidung serta mulut dalam keadaan basah dan tidak kering.
Penemuan kelenjar itu mengejutkan saintis, membuatkan pakar keliru tentang bagaimana mereka boleh kekal tidak dapat dikesan untuk sekian lama.
Dr Wouter Vogel, pakar onkologi sinaran di Institut Kanser Belanda, berkata kemungkinan besar sebab mereka bersembunyi selama ini adalah kerana ia memerlukan 'pengimejan yang sangat sensitif' untuk mengesannya dan ia 'tidak begitu mudah diakses'.
Beliau berkata: "Orang ramai mempunyai tiga set kelenjar air liur yang besar, tetapi tidak di sana.
"Setakat yang kami tahu, satu-satunya kelenjar air liur atau mukus dalam nasopharynx adalah sangat kecil bersaiz mikroskopik. Jadi, bayangkan kami terkejut apabila kami menemuinya."
Apa yang penting dalam penemuan ini adalah, ia menjawab persoalan kenapa mereka yang melakukan rawatan radioterapi akan mengalami masalah kering pada mulut dan kesukaran menelan air liur.
Sumber: UNILAD