Sabah Terus Dilanda Lonjakan Kes Jangkitan Sporadik

Kes jangkitan sporadik COVID-19 di Sabah terus meningkat kepada 71.8 peratus daripada keseluruhan 2,717 kes positif baru yang direkodkan semalam.

sabah terus dilanda lonjakan kes jangkitan sporadik

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun, peratusan kes bergejala melalui jangkitan sporadik adalah yang tertinggi pernah direkodkan di negeri tersebut setakat ini.

“Sebanyak 23 daripada 27 daerah di Sabah turut memperlihat trend sama dengan kes sporadik adalah kes terbanyak di daerah-daerah berkenaan.

“Atas sebab itulah kita selalu menggesa rakyat Sabah agar mematuhi semua prosedur operasi standard sepanjang masa sebagai benteng perlindungan daripada ancaman jangkitan virus COVID-19,” katanya.

Menurut Masidi, jumlah kumulatif kes positif baru COVID-19 di Sabah meningkat kepada 346,665 semalam dengan tujuh kematian dilaporkan masing-masing dua kes di Kota Belud dan Tenom sementara satu kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan serta Sipitang.


Sumber: [1]