Ribut Petir, Hujan Dijangka Melanda Beberapa Negeri Minggu Depan

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan terutamanya pada sebelah petang akan melanda di beberapa negeri ketika perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan.

ribut petir, hujan dijangka melanda beberapa negeri minggu depan

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi MetMalaysia, Lim Ze Hui, ribut petir dan hujan pada sebelah petang itu dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

“Pada sebelah pagi, hujan dijangka berlaku di kawasan pesisir pantai bagi negeri Terengganu dan Kelantan, manakala negeri-negeri lain cuaca baik. Sebelah malam pula di Semenanjung hujan dijangka berlaku di Perak dan Selangor.

“Lebih kurang begitulah corak keadaan cuaca pada minggu hadapan. Ribut petir yang kuat juga berpotensi untuk berlaku hujan batu, seperti yang berlaku di Shah Alam dan Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.

Di Sabah dan Sarawak pula, hujan dijangka berlaku pada sebelah malam, terutamanya di kawasan pedalaman dan pantai barat Sabah serta bahagian tengah dan utara Sarawak.

Sehubungan itu, Lim menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang mendiami kawasan rendah dan senang dinaiki air supaya sentiasa berjaga-jaga serta berwaspada susulan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

“Mereka yang mendiami di kawasan struktur yang tidak kukuh, dinasihatkan untuk berhati-hati kerana ribut petir dan angin kencang boleh merosakkan struktur-struktur yang tidak kukuh, dan ini sangat membahayakan keselamatan,” jelasnya.

 

Sumber: [1]