Ribuan Hamster Akan Dihapus Di Hong Kong Kerana Dijangkiti Delta

Pihak berkuasa Hong Kong akan melupuskan kira-kira 2,000 haiwan kecil termasuk hamster selepas virus COVID-19 dikesan pada haiwan itu dalam saringan yang dijalankan di bandar raya itu.

ribuan hamster akan dihapus di hong kong kerana dijangkiti delta

Langkah tersebut diambil selepas seorang pekerja di sebuah kedai haiwan peliharaan didapati positif varian Delta sehingga mendorong kepada ujian saringan yang dilakukan terhadap ratusan haiwan yang mana 11 sampel hamster menunjukkan keputusan positif.

Menurut Jabatan Agrikultur, Perikanan dan Konservasi Hong Kong, penjualan haiwan-haiwan peliharaan seperti hamster dan mamalia kecil tidak dibenarkan untuk sementara waktu.

“Beberapa hamster yang diimport dari Belanda yang dijual di kedai yang sama turut disahkan positif COVID-19.

“Terdapat kebarangkalian virus berkenaan telah menjangkiti manusia melalui haiwan-haiwan terbabit,” jelas pengarahnya Leung Siu Fai.

Demikian, beliau menasihati pemilik haiwan peliharaan di bandar tersebut supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau kebersihan diri, mencuci tangan dan tidak mencium haiwan peliharaan.

“Walaupun tiada bukti yang mengesahkan bahawa virus COVID-19 disebarkan oleh haiwan peliharaan terhadap manusia, namun perlu ada langkah waspada.

“Pelanggan-pelanggan yang telah membuat pembelian di kedai berkenaan sebelum 7 Januari akan dikesan dan diarahkan menjalani kuarantin wajib,” tambahnya.

Pada masa sama, mereka juga diarahkan untuk menyerahkan hamster yang dibeli bagi dilupuskan oleh pihak berkuasa.

Sebelum itu, pihak berkuasa Hong Kong mengarahkan semua kedai haiwan peliharaan di bandar raya tersebut untuk menghentikan operasi.

Kira-kira 2,000 haiwan peliharaan yang kebanyakannya terdiri daripada hamster serta mamalia kecil lain akan dihapuskan.

Prosedur itu bagaimanapun dilaporkan akan dilakukan mengikut prosedur dan dengan berperikemanusiaan.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN