Tindakan sebuah restoran di Kota Kinabalu, Sabah yang mengenakan caj bayaran sebanyak RM50 bagi satu hidangan lauk sotong manis akhirnya menerima padah apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah bertindak mengambil tindakan terhadapnya.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, premis berkenaan telah dikenakan tindakan dan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999, kerana meletakkan harga yang mengelirukan serta tidak jelas.
Malah, premis tersebut turut diberi Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
"Ia bagi mendapatkan maklumat berhubung harga makanan berkenaan dan diminta untuk memberi maklum balas dalam tempoh dua hari.
"Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga terbabit," katanya.
Ujarnya, berdasarkan pemeriksaan premis berkenaan ada menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual.
Bagaimanapun KPDN menasihatkan pemilik premis untuk memaklumkan harga yang lebih jelas dari segi saiz sotong manis berkenaan.
"Sebagai contoh, berapa harga untuk sotong manis saiz kecil, sederhana dan besar. Penandaan harga lebih khusus untuk mengelakkan kekeliruan pengguna.
"KPDN juga menasihatkan orang ramai supaya bertanya terlebih dahulu kepada peniaga atau menyemak senarai harga yang dipamerkan sebelum mengambil makanan, bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan," katanya lagi.
Sumber: KPDN / ERA Sabah