Hampir seramai 200 kakitangan Facebook dikatakan telah menandatangani surat yang bertujuan mendesak syarikat tersebut agar memberi perhatian terhadap aduan suara pro-Palestin yang disekat sistem penyederhanaan kandungan laman sosial itu.
Menerusi satu laporan yang dikeluarkan The Financial Times, kandungan surat tersebut berupa desakan terhadap barisan kepimpinan Facebook agar memperkenalkan langkah-langkah baru dalam memastikan entri berkaitan pro-Palestin tidak disekat atau dipadam seperti mana yang berlaku ketika serangan di Gaza baru-baru ini.
Selain itu, kakitangan Facebook yang menyertai ‘protes’ itu turut meminta pihak pengurusan untuk mengenakan sistem audit daripada pihak ketiga berkaitan penguatkuasaan kandungan melibatkan Arab dan Muslim.
Ia susulan daripada satu entri yang dimuat naik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyifatkan warga Palestin sebagai pengganas.
Surat yang ditandatangani 174 pekerja Facebook itu pada masa sama turut menggesa agar barisan eksekutif syarikat tersebut agar menubuhkan pasukan khas bertujuan menyiasat dan menangani kemungkinan berlakuknya berat sebelah dalam sistem penyiaran kandungan.
“Kami yakin Facebook boleh dan harus melakukan lebih banyak perkara untuk memahami pengguna dan berusaha untuk membina semula kepercayaan mereka,” tulis surat tersebut.
Sumber: [1]