Johor Darul Ta’zim (JDT) tersenarai dalam kelompok 20 kelab bola sepak terbaik di benua Asia, menerusi data terkini oleh Opta Analyst.
Data tersebut menyenaraikan 20 kelab bola sepak terbaik di Asia, dengan turut menyenaraikan JDT sebagai kelab bola sepak terbaik di rantau Asia Tenggara.
Difahamkan, JDT berjaya mengutip sebanyak 73.7 mata untuk beralih ke posisi ke-415 di dunia, berbanding kedudukan sebelum ini ke-447.
Sebelum ini, kelab bola sepak itu berada di ranking ke-31 Asia dan kedua di Asia Tenggara.
“Laman web analisis bola sepak menempatkan hampir 13,500 kelab bola sepak. Tiada pasukan lain dari Malaysia berada dalam Top 1500, dengan pasukan Liga Malaysia lain menduduki tempat ke-1,896 atau lebih rendah. Di Asia Tenggara, JDT naik di atas Buriram United, menduduki tempat ke-603 dengan 71.9 mata,” demikian menurut kenyataan oleh JDT di Twitter.
Dalam pada itu, pasukan Bayern Munich telah dinobatkan sebagai pasukan terbaik di dunia dengan meraih 100 mata, Manchester City pula di tempat kedua dengan 98.32 mata, dan Liverpool di tangga ke-3 (95.65 mata).
Sumber: Twitter / Opta Analyst