Ramai antara kita yang mengalami masalah rambut gugur tanpa mengira usia mahupun jantina. Ada juga yang menganggap ia sebagai satu perkara biasa.
Tahukah anda, masalah rambut gugur sebenarnya berkait dengan beberapa faktor seperti penuaan, pemakanan dan juga penyakit dalaman?
Rambut gugur juga dikaitkan angkara kencing manis ataupun diabetes.
Individu yang mempunyai diabetes tidak dapat menghasilkan insulin, iaitu hormon yang berfungsi menguraikan gula di salur darah daripada makanan dan minuman kepada sel untuk tenaga.
Apabila insulin ini tidak dapat dihasilkan dengan efektif, maka kadar glukosa dalam badan meningkat lalu menjejaskan fungsi tubuh badan. Ia berisiko merosakkan salur darah yang berfungsi membawa oksigen ke sekitar tubuh badan, termasuklah ke folikel rambut lalu menyebabkan rambut gugur.
Penghidap kencing manis lebih cenderung mengalami penyakit alopecia areata, di mana sistem imun akan menyerang folikel rambut. Masalah ini menjadi sebab rambut mahupun bulu pada badan menjadi gugur.
Sekiranya anda ada masalah ini namun tidak tahu apa sebab rambut gugur itu terjadi, sila segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan diagnosis.
Seandainya benar bahawa ia adalah disebabkan diabetes, laporkan pada doktor segala simptom termasuk rambut gugur pada kepala ataupun tubuh badan lain.
Sebagai langkah pencegahan, anda dinasihatkan untuk mengawal diet dan mengubah gaya hidup bagi menstabilkan kadar gula dalam darah.
Sila berjumpa dan berkonsultasi dengan doktor untuk mendapatkan informasi dan nasihat lebih lanjut tentang masalah kesihatan tubuh badan anda.
Sumber: [1]