Ramai Warga Bujang Jepun Enggan Kahwin Sebab Tak Nak Buat Kerja Rumah

Satu daripada empat bujang berusia 30-an di Jepun didapati enggan berkahwin, dalam satu tinjaun yang dijalankan kerajaan negara itu.

ramai warga bujang jepun enggan kahwin sebab tak nak buat kerja rumah

Menerusi tinjauan yang mengumpulkan 20,000 individu yang berusia 20-an hingga 60-an itu, peratusan wanita dan lelaki dalam lingkungan 30-an mengatakan mereka tidak berniat untuk berkahwin adalah lebih kurang, iaitu pada 25.4 peratus dan 26.5 peratus masing-masing.

Majoriti wanita ditinjau yang mengatakan mereka tidak mahu berkahwin berkata mereka merasakan mereka perlu memikul tanggungjawab kerja rumah, penjagaan anak dan penjagaan jangka panjang pasangan mereka apabila berkahwin.

Kajian sama juga mendapati wanita tidak mahu berhadapan dengan masalah nama keluarga. Di bawah kod sivil dan undang-undang daftar keluarga Jepun, keluarga perlu mempunyai satu nama keluarga dan selalunya isteri perlu menukar nama keluarga mereka.

Sementara itu, lelaki bujang Jepun ditinjau pula berkata mereka tidak mahu berkahwin kerana inginkan kebebasan atau kekurangan kuasa kewangan dan jaminan pekerjaan untuk menampung kehidupan berumah tangga.

Di samping itu, 36.2 peratus lelaki berusia antara 20 dan 39 tahun mengatakan mereka tidak pernah bertemu dengan seseorang yang mereka cukup suka untuk berkahwin. Ia mungkin kerana mereka tidak pernah mempunyai pengalaman bercinta. Tinjauan sama turut mendapati kira-kira 35 peratus lelaki Jepun yang belum berkahwin dalam lingkungan 30-an tidak pernah bercinta.

Berikutan itu, kadar kelahiran Jepun yang sudah rendah dijangka menurun lagi kerana lebih ramai individu tidak mahu berkahwin. Pakar memberi amaran bahawa seiring dengan penurunan populasi negara itu, Jepun mungkin perlu bersiap sedia untuk menghadapi kekurangan tenaga kerja dan masalah ekonomi jangka panjang pada masa hadapan apabila kadar kelahiran terus menurun.


Sumber: [1]