Ramai Pekerja Hotel Kini Beralih Ke Bidang Perkilangan Akibat Pandemik COVID-19

Destinasi peranginan seperti Pulau Pinang kini dilaporkan mengalami masalah kelewatan pelanggan untuk mendapatkan bilik di hotel selepas mendaftar ketika bercuti.

ramai pekerja hotel kini beralih ke bidang perkilangan akibat pandemik covid-19

Ia berikutan kekurangan pekerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang mana ramai dikatakan telah beralih ke bidang perkilangan sebagai sumber mata pencarian.

Menurut Pengurus Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K. Raj Kumar, masalah kekurangan pekerja 3D itu tercetus selepas ramai pekerja hotel beralih arah ke bidang perkilangan akibat industri perhotelan dan pelancongan yang terjejas teruk ketika pandemik COVID-19 melanda negara sejak tahun lalu.

“Ketika ini paling kritikal ialah pekerja 3D di bahagian pembersihan bilik di hotel kerana orang tempatan tidak mahu bekerja dalam bahagian ini malah berdasarkan maklumat, banyak hotel alami kekurangan pekerja selepas COVID-19 melanda berikutan ramai mencari kerja di bidang perkilangan.

“Kami menganggarkan bagi setiap hotel berlaku kekurangan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus pekerja bagi sektor 3D disebabkan pandemik COVID-19, sebab itu ramai pelancong yang datang ke sini menghadapi bilik malah terpaksa menunggu lama selepas mereka mendaftar masuk,” jelasnya.

Lanjutnya lagi, masalah tersebut menjadi semakin meruncing selepas rentas negeri dibenarkan dan lebih sukar untuk diatasi apabila pelanggan datang serentak ke hotel sehingga menyebabkan berlaku kelewatan untuk mereka mendapatkan bilik masing-masing.

Terangnya lagi, pada ketika ini tiada pekerja warga asing bagi sektor 3D yang dibekalkan oleh ejen-ejen untuk sektor perhotelan memandangkan kebanyakan daripada mereka telah bekerja di sektor lain.

Justeru itu, kebanyakan hotel mengambil langkah dengan tidak membuka kesemua bilik di premis mereka bagi mengatasi masalah kelewatan pelanggan mendapatkan bilik selepas mendaftar masuk.

“Contohnya kalau hotel ada 100 bilik, sekarang ini mereka hanya buka 70 bilik sahaja untuk ditempah pelanggan, ini yang banyak hotel praktikkan sekarang bagi mengelakkan berlaku masalah kepada pelanggan iaitu kelewatan mendapatkan bilik masing-masing,” tambahnya.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN