Hidup berpasangan adalah fitrah kehidupan dan Allah SWT mencipta manusia berpasang-pasangan kerana saling memerlukan antara satu sama lain.
Namun tak kurang juga sebilangan besar golongan anak muda yang memilih untuk hidup bersendirian dan enggan terikat dengan komitmen berumah tangga.
Menurut Profesor Jabatan Psikologi dan Kaunseling UPSI, Prof Dr Mohd Aziz berkata, antara sebab kenapa golongan muda memilih untuk tidak berkahwin adalah kerana rasa trauma yang pernah dialami oleh keluarga dan rakan terdekat.
"Ada orang tak nak berkahwin (sebab) ada unsur fobia, trauma, melihat ibu bapanya cerai, saudara mara hubungan tak harmoni ini menyebabkan dia takut untuk berkawin.
"Mereka tidak mahu berkahwin, kerana takut keluarga yang dibina akan menjadi sebegitu akibat daripada fobia dan traumatik menyebabkan mereka tidak boleh jalinkan hubungan yang baik kearah perkahwinan," katanya.
Beliau yang turut dikenali sebagai Prof Mas Positive menerusi media sosial turut menambah mereka yang berhadapan dengan konflik seperti ini untuk mendapatkan rawatan psikologi melalui kaunseling dan terapi.
"Jika ditanya soalan sama berulang kali, ia akan menyebabkan keadaan tidak selesa lalu akan menjauhkan diri dari keadaan daripada ibu bapa ataupun keluarga,
"Kita hanya perlu beri sokongan dengan memahami situasi itu, bukan dia tidak mahu kahwin tetapi belum masanya lagi," tambahnya.
Katanya, mereka yang masih bujang dinasihatkan untuk mencari kebahagiaan melalui apa sahaja cara dan jika perkahwinan adalah salah satu caranya, maka mereka perlu bersandar pada realiti dan tidak terlalu terpengaruh dengan situasi pasangan lain seperti di media sosial.
"Media sosial turut memainkan peranan, kebahagiaan yang sering dipaparkan hanyalah 'drama' dan 'filem'.
"Realiti sebenar tidak begitu, jika berlaku sesuatu konflik dan krisis, individu terbabit akan kecewa kerana apa yang disangka berbeza dengan dipamerkan.
"Kita perlu turunkan standard, drama dan cerita orang berbeza, apa yang penting untuk berdamai dengan diri sendiri kerana setiap orang mempunyai kebahagiaan berbeza," kongsinya lagi.
Dalam laporan baru-baru ini, Malaysia dikatakan berada di tempat ketiga di Asia Tenggara yang mempunyai bilangan individu paling ramai yang masih belum berkahwin.
Sumber: Astro AWANI