PPS Bakal Jadi Rumah Sementara Buat Doktor & Jururawat

Pegawai perubatan dan jururawat akan ditempatkan di setiap pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara mengikut kapasiti bagi membantu mangsa banjir, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.

pps bakal jadi rumah sementara buat doktor & jururawat

Selain pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan ubat-ubatan, kesemua mangsa banjir juga akan menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan tersebut, lanjut Perdana Menteri.

“Saya difahamkan PPS belum ada pasukan perubatan dan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) yang turut hadir mesyuarat hari ini bersetuju untuk menyediakan pasukan perubatan di setiap PPS.

“Waktu tinjauan sebentar tadi, saya mendapati ada segelintir mangsa yang tidak memakai pelitup muka. Tapi kita tidak boleh salahkan mereka. Mereka pindah dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan setakat ini bilangan mangsa yang ditempatkan di PPS meningkat dari 6,000 kepada 15,000 mangsa.

Hingga semalam, terdapat 48 PPS tetapi bilangan itu ditingkatkan kepada 103 PPS di lapan daerah di seluruh negeri Selangor pada Ahad.

Tambahnya, kesemua isu yang dibangkitkan termasuk mangsa yang dikatakan terperangkap di rumah, kelewatan penyaluran makanan, tandas dan tempat tidur telah diselesaikan hari ini.

“Sekarang kita faham, mereka terpaksa tidur di atas lantai kerana terpaksa bertindak secara tergesa-gesa, saya sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyediakan penginapan berbentuk kapsul kepada mereka,” jelas beliau.

 

Sumber: [1]