‘Kamu Tetap Selamanya Permata Negara, Terima Kasih Azizulhasni' - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan kata penghargaan kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang yang bertanding dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kamu tetap dan selamanya permata negara, terima kasih," kata Perdana Menteri. 

Azizulhasni yang membawa impian negara untuk merangkul emas pertama pada temasya sukan itu tersingkir seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines di Paris.

Penyertaannya itu dibatalkan semasa saringan satu pusingan pertama selepas didapati memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek, sekali gus perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.

Azizulhasni sepatutnya bersaing dengan lima pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda) dan pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa.

Namun, rata-rata rakyat Malaysia tetap akan terus menyokong jaguh berbasikal trek negara itu. 

Sumber: Awani