Pilih Untuk Rahsiakan Hubungan, Wany Hasrita Dedah Akan Menikah Tahun Ini

Penyanyi wanita popular, Wany Hasrita memberi bayangan bahawa dia akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini.

pilih untuk rahsiakan hubungan, wany hasrita dedah akan menikah tahun ini

Enggan bercerita lebih-lebih mengenai kehidupan peribadinya itu, Wany berkata dia akan berkongsi kisah perkahwinannya apabila tiba masa yang sesuai.

“Setiap orang mempunyai perancangan berkahwin, begitu juga saya. Insya-Allah, tahun ini tetapi bukan dalam masa terdekat, tempoh sebulan atau dua bulan ini.

“Apabila kad kahwin sudah keluar berserta tarikh, masa dan tempat ditetapkan, saya pasti akan berkongsi. Jangan risau, saya akan kongsi dahulu, barulah berkahwin.

“Sebab perkara ini juga masih baru. Untuk cakap lebih-lebih, saya pun takut sebab banyak hati dan perkara perlu dijaga.

“Saya mahu menjaga sebaik mungkin, biar berjalan dengan baik,” kata Wany kepada media tempatan.

Selain itu, pelantun lagu “Menahan Rindu” itu turut menafikan dakwaan yang dia telah melangsungkan majlis pernikahannya pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, dedah Wany, dia telah pun menghadiri kursus perkahwinan sejak tahun lalu lagi.

Berkongsi mengenai ciri pasangan idamannya pula, Wany mengaku bahawa dia berharap untuk bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang bukan dari industri hiburan.

“Saya punya impian untuk berkahwin dengan seseorang yang bukan bekerja dalam industri. Jadi, jika ada jodoh, tercapailah impian itu.

“Jujurnya, apabila berkawan, memang niat ke arah itu memandangkan saya juga sudah berusia 30 tahun. Jadi, fasa main-main sudah berlalu, sekarang ini niat kena betul, iaitu mahu berkahwin.

“Berkahwin untuk ke syurga bersama-sama, Insya-Allah. Itu sahaja yang boleh dikongsikan.

“Untuk pertanyaan berapa lama sudah berkawan, siapa namanya, persiapan dan sebagainya, saya akan beritahu apabila tiba masanya,” tambah Wany.

 

Sumber: [1]