PICKids: Pantau Tahap Kesihatan Si Kecil Selepas Vaksin

Ibu bapa dinasihatkan untuk memantau tahap kesihatan anak-anak yang baru sahaja diberikan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKIds) yang bermula sejak 3 Februari lalu.

pickids: pantau tahap kesihatan si kecil selepas vaksin

Jelas pakar pediatrik Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, sekiranya kanak-kanak mula mengalami kesan sampingan yang teruk dan mula mengadu masalah seperti sesak nafas, segera bawa mereka berjumpa pakar kesihatan.

“Sekiranya anak-anak disuntik vaksin, mereka sama ada akan berdepan kesan tindak balas dengan segera atau sedikit lambat.

“Kesan segera itu kebiasaannya mengalami bengkak di bahagian suntikan, ataupun demam selepas 24 jam dan itu semua perkara biasa.

“Tetapi, kalau anak-anak mula menunjukkan simptom seperti tidak boleh bernafas, sesak nafas, naik ruam, mata bengkak, alergi yang agak teruk, atau mula mengadu sakit dada dan nampak lemah, terus bawa ke hospital.

“Ada kanak-kanak yang simptomnya datang awal, ada simptom lewat yang mana boleh mencecah sehingga lebih sebulan selepas menerima dos pertama ataupun sebulan selepas dos kedua,” katanya.

Lanjut Dr Zaqrul, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak setiap kali menerima suntikan vaksin kerana ia kesannya berbeza mengikut kanak-kanak, sama seperti dewasa.

“Kadang-kadang dos pertama itu mereka tiada kesan langsung, tetapi dos kedua baru timbul kesan sampingan itu.

“Jadi, kepada ibu bapa, anda perlu sentiasa berwaspada, perhatikan anak anda, kalau mereka mengadu kepenatan, periksa jantung mereka.

“Jika mengadu masalah gatal, pastikan penyakit ruam di kulit merek tidak begitu teruk, segala kerisauan yang tinbul sila segera berjumpa dengan doktor pakar.”

 

Sumber: [1]