Kompleks kesihatan terbesar di Gaza iaitu Hospital Al-Shifa telah diarahkan untuk dikosongkan oleh tentera rejim Zionis Israel.
Arahan pengosongan itu menyebabkan 126 pesakit melibatkan 34 bayi yang baru lahir termasuk kakitangan perubatan hospital untuk berpindah secara paksa.
Menurut Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaila berkata, hospital itu kini menjadi pangkalan tentera Israel dan mereka yang berlindung disitu akan diusir dengan senjata.
“Pencerobohan Israel menuntut pemindahan pesakit, yang cedera dan kakitangan perubatan, serta mereka yang mencari perlindungan di hospital, dalam masa satu jam, bermakna, dalam masa satu jam mereka harus berpindah, untuk menghadapi nasib yang tidak diketahui.
“Mereka diusir dengan ancaman senjata, dan yang tinggal hanyalah 126 pesakit, lima doktor, dan 34 bayi pramatang kekal di wad hospital yang berbeza,” katanya dalam sidang media.
Rejim Zionis telah menjadikan Hospital Al-Shifa sebagai sasaran utama dengan mendakwa hospital itu terletak di atas kubu bawah tanah milik kumpulan pejuang, Hamas.
Bagaimanapun masih belum ada sebarang penemuan dan bukti berhubung dakwaan tersebut.
Terdahulu, tentera penceroboh Israel menyerbu Hospital Al-Shifa pada Rabu yang merupakan tempat perlindungan bagi ribuan rakyat Palestin, sebelum diusir keluar oleh rejim Zionis.
Serangan ke atas Gaza kini masuk hari ke-44 dan ia telah membunuh lebih 12,300 rakyat Palestin dalam serangan udara dan darat, sejak 7 Oktober lalu.
Sumber: Utusan Online