Mulai 1 Februari, Perlis Wajibkan Papan Tanda Tulisan Jawi

Bermula 1 Februari 2024, semua papan tanda pada premis perniagaan di seluruh negeri Perlis akan diwajibkan untuk menggunakan tulisan jawi.

mulai 1 februari, perlis wajibkan papan tanda tulisan jawi

Menurut laporan, penguatkuasaan papan tanda tulisan jawi turut membabitkan papan tanda iklan atau ‘billboard’ serta papan tanda jalan di taman perumahan dan kawasan kejiranan di negeri itu.

 

“Kerangka garis panduan terhadap penguatkuasaan berkenaan sedang berada pada fasa terakhir untuk dimuktamadkan namun ketetapan sudah pun dibuat di mana bermula 1 Februari akan datang, kita akan mewajibkan setiap papan tanda premis perniagaan serta iklan di negeri ini wajib mempunyai tulisan jawi padanya.

“Kewajipan ini adalah membabitkan permohonan baharu mana-mana premis perniagaan yang mahu menaikkan papan tanda premis perniagaan mereka yang baharu tanpa mengganggu papan tanda iklan yang sedia ada.

“Maksudnya, sekiranya ada pemilik perniagaan yang mempunyai papan tanda premis perniagaannya yang masih elok namun tiada sebarang tulisan jawi padanya... masih dibenarkan untuk terus menggunakannya.

"Sebaliknya jika pemilik perniagaan mahu menggantikan papan tanda premis perniagaannya yang sudah rosak atau pudar kepada yang baharu, maka mereka wajib menyertakan sekali tulisan jawi pada papan tanda perniagaan mereka itu,” kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil.

mulai 1 februari, perlis wajibkan papan tanda tulisan jawi

Ujarnya, ia adalah satu langkah dalam memperkasakan dan mendedahkan tulisan jawi kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.

 

Bagi memastikan kaligrafi jawi yang digunakan itu betul dan tepat, kerjasama pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Munsyi Jawi akan digunakan.

 

Katanya lagi, papan tanda premis perniagaan akan membabitkan dwibahasa iaitu bahasa Melayu menerusi tulisan rumi dan tulisan jawi.

 

“Papan tanda premis perniagaan ini akan membabitkan dwibahasa iaitu bahasa Melayu menerusi tulisan rumi dan tulisan jawi manakala sekiranya papan tanda premis itu turut mempunyai bahasa ibunda yang lain seperti bahasa Mandarin atau Tamil, ia tetap tidak mempunyai masalah untuk menyertakan sekali bersama tulisan jawi pada papan tanda itu.

“Malah, penguatkuasaan ini turut membabitkan semua premis perniagaan yang mempunyai lesen operasi daripada Majlis Perbadaran Kangar tanpa mengambil kira sama ada premis perniagaan itu menjual barangan tidak halal atau sebaliknya,” katanya lagi.

mulai 1 februari, perlis wajibkan papan tanda tulisan jawi

Untuk info, negeri Kelantan, Kedah, Pahang dan Melaka sudahpun mula memperkasakan tulisan jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan serta iklan di negeri masing-masing sebelum ini.

 

Sumber: Astro AWANI