Penyanyi yang juga pejuang kanser tahap empat, Elyana atau nama sebenar Emeelya Elyana Emrizal, hari ini berkongsi berita gembira dengan orang ramai bahawa dirinya telah bebas kanser.
Menerusi coretan di Instagram peribadi miliknya, tulis Elyana dengan bersemangat sekali, “Assalamualaikum rakan dan keluarga di Instagram. Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur saya dengan anda semua. Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil! Kanser saya hilang!
“Alhamdulillah Ya Allah... Terima kasih Ya Allah, kau telah mendengar doa kami. Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya,” luahnya.
Tambah penyanyi yang berusia 34 tahun itu lagi, dia mengaku pernah berasa ingin berhenti berjuang.
“Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat... Aku pernah putus asa untuk berjuang. Aku selalu cemburu dengan kesihatan orang.
“Tapi aku sangat percaya dengan keajaiban dari sang penciptaku. Allah Maha Baik! I love you Ya Allah.”
Terdahulu, pada 2017, Elyana pernah membuat pengumuman mengejut apabila dia mengumumkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat dan telah menanggung derita menghidap penyakit tersebut sejak 2010.
Sumber: Instagram