Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perjuangan Malaysia dalam menentang COVID-19 masih belum berakhir.
Susulan itu, beliau menasihati orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
Jelasnya, negara ini masih berdepan cabaran walaupun situasi COVID-19 semakin pulih dengan kes harian menunjukkan penurunan.
“Kita tahu bahawa ini adalah virus yang sangat degil, ia tidak akan ke mana-mana tetapi kita perlu terus melangkah ke hadapan, melakukan pembukaan semula dengan selamat namun pada masa yang sama memastikan sistem penjagaan kesihatan kita tidak pincang, tidak lumpuh,” katanya.
Beliau turut mengingatkan individu yang telah memperoleh janji temu untuk dos penggalak supaya mengambil suntikan tersebut terutama mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas dengan komorbiditi.
“Apa sahaja yang ditawarkan, terimalah. Ia bukan sahaja membantu anda dari segi memastikan perlindungan yang lebih baik tetapi juga membantu orang lain dengan mengurangkan risiko jangkitan,” tambahnya.
Sumber: [1]