Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelaksanaan Tol Rahmah percuma, iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
Pelaksaan tol percuma itu akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat).
Selain itu, tol percuma juga akan dilaksanakan pada 24 April 2023 (Isnin).
"Pelaksanaan Tol Rahmah Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.
"Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Selasa.
Selain itu, kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal yang hanya akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023.
"Sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan.
"Ia adalah berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Walau bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan," katanya.
.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Sumber: Astro AWANI