Seramai 5 bilion penduduk dunia bakal berhadapan dengan kematian sekiranya tercetus perang nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, menurut menurut satu kajian baru seperti mana yang dilaporkan agensi berita United Press International (UPI).
Menurut pasukan penyelidik Universiti Rutgers menerbitkan kajian mereka dalam jurnal Nature Food, mereka membentangkan senario yang mungkin berlaku sekiranya AS dan Rusia terlibat dalam perang nuklear berskala penuh selama seminggu.
“Perang antara AS, sekutunya dan Rusia yang mana semua pihak memiliki lebih 90 peratus senjata nuklear global, boleh menghasilkan lebih 150 teragram jelaga dan musim sejuk nuklear,” kata kajian itu.
“Jelaga akan tersebar secara global dan menutupi bahagian atas atmosfera Bumi. Justeru, keputusan kajian kami adalah relevan tanpa mengira negara mana yang berperang.”
Dalam senario sama, purata pengeluaran kalori global daripada tanaman dijangka akan berkurangan sekitar 90 peratus dalam tempoh empat tahun selepas perang berlaku selain mengurangkan bekalan ikan global.
Penduduk di kebanyakan negara akan mengambil kalori kurang daripada yang dibakar oleh badan. Ini akan mengakibatkan lebih 5 bilion orang mati menjelang akhir tahun kedua.
Kajian itu mengandaikan bahawa perdagangan antarabangsa selepas perang nuklear akan terhenti dengan negara-negara di Benua Afrika dan rantau Asia Barat “terjejas teruk” akibat penurunan dalam eksport makanan dunia.
“Ketiadaan cahaya matahari, penyejukan global dan kemungkinan sekatan perdagangan selepas perang nuklear merupakan malapetaka global,” kata kajian itu.
Sumber: AFR