Penggunaan Media Sosial Tanpa Had, Makin Ramai Kanak-Kanak Didedahkan Mengenali Orang Asing Dalam Talian

Menerusi satu kajian yang dijalankan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), didapati lebih separuh daripada individu berusia 18 tahun mengakui bahawa mereka menemui secara bersemuka dengan orang yang mereka kenali dalam talian.

penggunaan media sosial tanpa had, makin ramai kanak-kanak didedahkan mengenali orang asing dalam talian

Kajian yang diberi nama ‘Our Lives Online’ itu turut dijalankan terhadap 127 kanak-kanak dari Malaysia.

Menurut Ketua Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia, Sarah Norton-Staal, dua daripada lima kanak-kanak melalui pengalaman dalam talian yang mereka enggan ceritakan kepada sesiapa.

“Aktiviti ini membawa banyak risiko, antaranya (dapatan kajian) baik kanak-kanak lelaki mahupun perempuan dilapor menerima pesanan, gambar dan video berunsur seksual daripada individu tidak dikenali melalui media sosial.

“Ini adalah fakta membimbangkan yang perlu diketahui, anak-anak kita menghadapi risiko dan ancaman ini semasa dalam talian,” katanya.

Tambahnya lagi, kajian yang menyentuh mengenai penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak di Asia Timur itu memfokuskan pada empat buah negara iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Penyelidikan yang menggabungkan pengalaman 301 kanak-kanak merentasi empat negara tersebut termasuk 121 kanak-kanak jalanan dan pelarian yang dikumpulkan melalui satu siri perbincangan kumpulan fokus dan program penyertaan.

Tambahnya lagi, sehubungan dengan itu, UNICEF turut menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menyokong serta memperkasa ibu bapa dalam melindungi anak mereka daripada bahaya yang ada dalam talian.

“Ibu bapa wajar menimbang mengehadkan masa anak mereka berada dalam talian, namun mereka berhubung dengan anak mereka menerusi dalam talian sebagai satu pengalaman bersama.

“Mereka (ibu bapa) perlu memahami apa yang perlu dilakukan oleh anak mereka semasa berada dalam talian, mungkin boleh sertai mereka. Paling penting ialah ibu bapa ambil tahu tentang kelakuan anak mereka semasa dalam talian,” ujarnya.

 

Sumber: [1]