Penduduk Singapura Yang Enggan Divaksinasi Perlu Tanggung Kos Perubatan Sendiri

Penduduk Singapura yang dijangkiti COVID-19 dan tidak divaksinasi atas pilihan sendiri perlu menanggung kos perubatan apabila dimasukkan ke hospital atau mendapatkan rawatan disediakan bermula 8 Disember ini.

penduduk singapura yang enggan divaksinasi perlu tanggung kos perubatan sendiri

Pengumuman tersebut dibuat Kementerian Kesihatan (MOH) selepas majoriti golongan tersebut kini memerlukan rawatan intensif yang turut memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan akibat berlakunya lonjakan luar biasa terhadap kes jangkitan COVID-19 dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

“Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa terhadap pesakit COVID-19 yang layak mendapat vaksinasi, namun memilih untuk tidak berbuat demikian,” kata kementerian terbabit.

Pada ketika ini, kos perubatan individu yang belum menerima dos lengkap masih ditanggung pemerintah sehingga 31 Disember ini.

Bawah peraturan baru itu, pemerintah juga hanya akan menanggung sepenuhnya kos perubatan rakyat tempatan, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang telah menerima dos lengkap serta tidak melakukan perjalanan ke luar negara bermula 1 Januari 2022.

“Pendekatan khas ini akan terus dilakukan sehingga situasi COVID-19 menjadi stabil,” jelasnya.

Sebagai tambahan, individu yang tidak boleh mendapatkan vaksin kerana masalah tertentu termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah juga akan diberikan bantuan sama.

Sementara itu, Singapura akan membuka sempadan kepada pengembara dari Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia dan Thailand bermula Khamis ini.

Pengembara perlu menunjukkan keputusan negatif ujian pantas antigen (ART) dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

Selain itu, 23 negara yang sebelum ini tersenarai sebagai negara berisiko tinggi termasuk Laos dan India akan turut sama diberikan kelonggaran.

Namun mereka masih perlu menjalani notis duduk di rumah (SHN) selama 10 hari dan boleh memilih untuk menjalani tempoh kuarantin itu di kediaman atau hotel.

 

Sumber: [1]