Kesihatan Mental Penduduk Gaza Kini Berada Dalam Keadaan Membimbangkan

Satu pertiga daripada penduduk Semenanjung Gaza dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental yang membimbangkan akibat kekejaman rejim Zionis yang berterusan.

kesihatan mental penduduk gaza kini berada dalam keadaan membimbangkan

Menurut Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terdapat peningkatan bagi tahap masalah mental populasi di wilayah terbabit.

Paling merisaukan, golongan yang direkodkan paling ramai berhadapan dengan masalah tersebut adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.

Seramai 46 rakyat Palestin telah terbunuh dalam satu serangan keganasan oleh rejim Zionis sekitar awal Ogos lalu.

“Bagi kebanyakan golongan muda, ini merupakan konflik kelima mereka dalam tempoh 15 tahun lalu. Ramai antara mereka yang telah sekian lama hidup dengan kesan psikologi jangka panjang akibat pendedahan berterusan terhadap keganasan,” kata Pengarah Serantau bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Tabung Kanak-kanak oleh PBB (UNICEF), Adele Khodr.

Dalam pada itu, Ketua Program Kesihatan Agensi Bantuan PBB (UNRWA) bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat, Dr. Ghada Al Jadba menjelaskan bahawa penduduk di wilayah itu kini hidup dalam kekecewaan serta keadaan psikologi yang semakin merosot.

“Konflik pada Mei 2021 (di mana sebahagian besar Bandar Gaza musnah serta beratus-ratus orang terbunuh atau cedera) telah menyebabkan kejutan psikologi dalam kalangan penduduk yang dalam masa sama bergelut dengan masalah bekalan elektrik dan air terputus, kadar kemiskinan yang tinggi dan pengangguran.

“Semua faktor ini memburukkan lagi kesihatan mental penduduk yang telah pun mengalami kesengsaraan,” katanya.


Sumber: Kosmo

ARTIKEL BERKAITAN