Pakar Saran Tidak Perlu Kawalan Ketat Berikutan Varian Omicron, Hanya Patuh SOP & Dos Penggalak

Pakar menyarankan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan semula sekatan-sekatan ketat bagi mendepani gelombang jangkitan baru bawaan varian baru COVID-19, iaitu Omicron.

pakar saran tidak perlu kawalan ketat berikutan varian omicron, hanya patuh sop & dos penggalak

Pandangan tersebut diutarakan oleh Presiden Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar yang mengatakan, dengan syarat masyarakat seluruhnya harus terus mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan.

“Kita tak perlu mengulang kembali peraturan atau sekatan-sekatan lama, kita nampak bahawa bila masyarakat telah bersedia maknanya mematuhi SOP dan kedua telah melengkapkan vaksin.

“Jadi saya rasa kita tidak perlu kembali ke masa dulu dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat untuk semua negeri; saya tak nampak yang kita perlu mengadakan tindakan yang drastik.”

Tambahnya, orang ramai juga sepatutnya sudah sinonim dengan norma baru disebabkan COVID-19 dan perlahan-lahan melangkah masuk ke fasa endemik.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya yang lebih ke hadapan untuk menerima gelombang jangkitan baru bawaan varian Omicron.

Selain itu, beliau turut menjangkakan bahawa gelombang jangkitan Omicron ini tidak akan menjadi sebesar yang dibawa oleh varian Delta atau yang sebelumnya memandangkan kadar vaksinasi negara mencatatkan jumlah yang tinggi selain sekatan perjalanan berfokus masih diamalkan di banyak negara.

Namun, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil dos tambahan atau penggalak sebagai perlindungan tambahan bagi mendepani ketidaktentuan masa hadapan.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN