Pakar Jelaskan Kanak-Kanak Positif COVID-19 Tanpa Gejala Juga Berpotensi Dapat MIS-C

Kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 namun tidak bergejala, juga berisiko diserang Sindrom Keradangan Multisistem dalam Kanak-Kanak (MIS-C).

pakar jelaskan kanak-kanak positif covid-19 tanpa gejala juga berpotensi dapat mis-c

Perkara tersebut dijelaskan oleh Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Tunku Azizah Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim yang mana tanda-tanda sindrom itu hanya akan mula muncul kira-kira dua minggu selepas jangkitan.

Menurut beliau, MIS-C berlaku disebabkan tindak balas selepas jangkitan COVID-19 yang mana imuniti pesakit dalam organ-organnya melawan virus, menyebabkan berlakunya radang.

“Ini berlaku selepas dia sihat daripada jangkitan COVID-19 itu, sudah sembuh batuk dan selsemanya, kadang-kadang yang Kategori 1 asimptomatik pun (boleh alami).

“Dia dijangkiti mungkin sebab ada ahli keluarga yang dapat COVID-19, tidak ada simptom, tetapi selepas dua minggu baru nampak keradangan itu menyerang tubuhnya di jantung, paru-paru, otak, mata dan kulit.”

Antara tanda berlakunya MIS-C termasuk apabila mata dan kulit kemerahan, terjadi sakit perut dan muntah-muntah.

Andai berlaku tanda tersebut, ibu bapa perlu segera bertindak kerana sindrom ini mampu membawa maut.

“Ia mesti segera dikenal pasti dan dirawat sebaiknya. Kebanyakan pesakit MIS-C ini memerlukan rawatan rapi kerana ia menyebabkan seseorang itu tenat.

“Selalunya mereka yang datang ini tekanan darahnya rendah, kadar degupan jantungnya tinggi, badan merah dan merengek, jadi terpaksa dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU).”

Sehubungan dengan itu, Dr Sabeera menegaskan, hanya vaksinasi ‘senjata’ yang dapat merendahkan risiko MIS-C berlaku kepada kanak-kanak sekiranya dijangkiti COVID-19.


Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN