Orang Ramai Perlu Pantau Kesihatan Selepas Terima Dos Penggalak

Penerima dos penggalak vaksin COVID-19 perlu peka dengan perubahan kesihatan diri dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas vaksinasi.

orang ramai perlu pantau kesihatan selepas terima dos penggalak

Sekiranya mengalami kesan sampingan berlanjutan melebihi tiga hari, mereka disarankan untuk berjumpa dengan doktor pada kadar segera.

Menurut perunding Hematologi Hospital Ampang Dr Veena Selvaratnam, antara kesan sampingan yang perlu diberi perhatian sekiranya dialami lebih daripada tiga hari termasuk demam, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, dan ruam berbintik merah pada badan.

Berlakunya kesan tersebut adalah mungkin kerana terjadinya Vaccine Induced Thrombotic Thrombocytopenia (VITT) iaitu darah beku dalam salur darah vena.

"Selain itu, sesak nafas dan bengkak kaki juga perlu diberikan perhatian sekiranya anda mengalaminya...ini adalah antara tanda awal pembentukan darah beku di mana-mana bahagian badan kita.

"Jika sesiapa alami kesan sampingan seperti sakit di tempat cucuk, biasanya ia akan hilang dalam tempoh 24 hingga 48 jam," katanya.

Tambah beliau, golongan yang berisiko mengalami VITT adalah mereka yang menerima vaksin jenis adenovirus yang berusia 30 hingga 50 tahun selain mereka yang pernah mempunyai sejarah mengalami masalah pembekuan darah.

"Namun berdasarkan kajian, trend VITT di luar negara merekodkan sembilan hingga 10 kes bagi satu juta dos manakala di Malaysia, kurang daripada satu kes bagi satu juta dos," katanya.

Namun beliau menyarankan orang ramai yang mempunyai keraguan berkenaan vaksinasi untuk berbincang dengan doktor dan tidak mudah terpengaruh dengan mesej tular menerusi laman sosial.

"Orang ramai perlu faham yang risiko jangkitan COVID-19 adalah jauh lebih tinggi daripada risiko kesan sampingan vaksin," katanya.


Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN