Umat Islam yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dinasihatkan untuk terus mengamalkan kawalan kendiri walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kawasan terbuka bermula 1 Mei ini.
Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan diri termasuk semasa menziarahi kubur.
“Jadi bermakna di hari raya nanti, untuk menziarahi kubur misalnya tidak perlu memakai pelitup muka lagi…kecuali di tempat-tempat tertutup masih lagi wajib di bawah Akta 342.
“Walaupun tidak lagi menjadi kesalahan tidak memakai pelitup muka tetapi perlu untuk menjaga kepentingan diri dan keselamatan.
“Saya percaya kubur ini biasanya beratus-ratus orang datang... dan semua keluarga akan pergi.
“Jadi mungkin berhimpit-himpit dan ia sudah tidak salah dari segi SOP kerana kita tahu penjarakan fizikal tidak lagi menjadi seperti dulu,” kata beliau.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa penggunaan pelitup muka tidak luar bangunan, kawasan terbuka tidak lagi wajib.
Bagaimanapun, jelas Perdana Menteri, biarpun kerajaan telah memberi banyak kelonggaran, namun rakyat tidak boleh menganggap keadaan sudah selamat daripada COVID-19.
“COVID-19 masih lagi ada, cuma seperti yang kita umumkan dulu bahawa kita tiada pilihan selain hidup bersama COVID-19.
“Tetapi (rakyat) masih perlu lagi berhati-hati,” tambahnya.
Sumber: [1]