
Legenda Itali, Francesco Totti baru-baru ini umum meninggalkan AS Roma, selepas hampir 30 tahun mengabdikan diri bersama kelab itu.
Sepanjang 25 tahun bersama Roma sebagai pemain dari tahun 1992 hingga 2017, Totti telah melakukan 786 penampilan dan menjaringkan 307 gol dalam semua kejohanan.
Totti turut membantu Roma meraih kejuaraan Serie A pada musim 2000/2001 dan dua trofi Coppa Italia serta Supercoppa Italiana.
Kami kongsikan kepada anda, beberapa pemain ternama yang setia beraksi untuk satu kelab dalam tempoh masa panjang.

1 - Paolo Maldini (AC Milan)
Seorang lagi bekas pemain Itali, Paolo Maldini melakukan 902 penampilan untuk AC Milan dan menjaringkan 33 gol dari tahun 1984 hingga 2009.
Maldini meraih 7 kejuaraan Serie A, satu trofi Coppa Italia, 5 Supercoppa Italiana, 5 Liga Juara-Juara, 4 Piala
Super UEFA, 2 Piala Antarabenua dan satu Piala Dunia Kelab FIFA.
2 - Ryan Giggs (Manchester United)

Ryan Giggs yang tidak pernah berpeluang beraksi di Piala Dunia bersama Wales telah berkhidmat selama 24 tahun bersama Manchester United dari tahun 1990 hingga 2014.
Dengan 963 penampilan dan 168 gol, Giggs menjulang 12 trofi Liga Perdana Inggeris, 4 Piala FA, 3 Piala Liga, 9
Perisai Komuniti, 2 Liga Juara-Juara dan masing-masing satu Piala Super UEFA, Piala Antarabenua dan Piala Dunia Kelab FIFA.
3 - Jamie Carragher (Liverpool) 1996

Menghasilkan 5 gol daripada 737 penampilan bersama Liverpool dari tahun 1996 hingga 2013, Carragher bagaimanapun tidak berpeluang mengucup trofi Liga Perdana Inggeris.
Bekas pemain pertahanan ini bagaimanapun membantu The Reds merangkul 2 Piala FA, 3 Piala Liga Inggeris, 2 Perisai Komuniti dan masing-masing satu Liga Juara-Juara, Piala UEFA dan Piala Super UEFA.
4 - Carles Puyol (Barcelona)

Sepanjang 15 tahun bersama pasukan senior Barcelona dari tahun 1999 hingga 2014, Carles Puyol telah melakukan 682 penampilan dan menghasilkan 24 gol.
Puyol membantu Barca meraih 6 kejuaraan La Liga, 2 Copa Del Rey, 4 Supercopa de Espana, 3 Liga Juara-Juara, 2 Piala Dunia Kelab FIFA dan satu Piala Super UEFA.
Bonus!
5 - Zainizam Marjan (Sabah)

Adik kepada Matlan Marjan, Zainizam Marjan antara pemain Liga Malaysia yang setia bermain untuk sesebuah pasukan demi lencana di dada.
Bekas penyerang Sabah ini membuat kira-kira 400 penampilan bersama skuad Sang Badak dari tahun 2000 hingga 2014 dan telah menjaringkan 62 gol.
Oleh: Shah Rahimin