Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendakwa varian Omicron COVID-19 adalah lebih berbahaya bagi mereka yang belum disuntik vaksin.
Amaran terkini yang dikeluarkan WHO itu merujuk kepada lonjakan jangkitan Omicron pada peringkat global yang menunjukkan ia lebih mudah disebarkan berbanding varian Delta sebelum ini.
Sehingga minggu lalu, terdapat lebih daripada 15 juta kes dilaporkan WHO dengan berjuta-juta lagi kes tidak direkodkan.
Agensi kesihatan itu juga menggesa semua pihak supaya tidak menyerah kalah kepada varian itu dan ia bukanlah penamat kepada pandemik.
Tambah lagi, meskipun varian Omicron dilaporkan kurang memberi kesan penyakit yang teruk berbanding varian Delta, ia masih kekal virus berbahaya terutamanya pada mereka yang tidak di vaksin.
"Kita tidak boleh membenarkan virus ini terus merebak terutama apabila begitu ramai orang di seluruh dunia masih belum divaksinasi.
"Majoriti orang yang dimasukkan ke hospital tidak menerima vaksin," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Tambah beliau lagi, meskipun vaksin berkesan untuk mencegah kematian akibat COVID-19 serta kesan penyakit yang teruk, ia masih tidak dapat menghalang penularan sepenuhnya wabak COVID-19.
"Lebih banyak penularan bermakna lebih banyak kemasukan ke hospital, lebih banyak kematian, lebih ramai orang tidak bekerja termasuk guru dan pekerja kesihatan.
"Wujud risiko lebih banyak varian lain muncul, yang lebih mudah merebak dan lebih ramai mati daripada kesan jangkitan Omicron," katanya.
Tambahnya lagi, meskipun dunia sedang cuba untuk belajar hidup dengan virus ini, ia tidak bermakna kita boleh menerima jumlah kematian dengan rekod sekitar 50,000 kes seminggu.
Varian Omicron telah dikesan di 149 buah negara seluruh dunia dan ia menjadikan jalan penyelesaian bagi menamatkan wabak ini semakin sukar.
"Kami menjangkakan virus ini akan terus berkembang dan menjadi lebih cergas. Kami menjangkakan wujud wabak dalam kalangan individu yang tidak divaksin.
"Virus ini sedang dalam perjalanan untuk menjadi endemik tetapi kita belum sampai ke sana," kata Ketua Teknikal WHO, Maria Van Kerkhove.
Sumber: [1]