Hasrat seorang pensyarah untuk memiliki seekor kucing baka British Shorthair tidak kesampaian apabila tertipu dalam urusan jual beli haiwan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, semuanya bermula apabila mangsa terlihat iklan kucing berkenaan menerusi satu akaun Instagram sehingga membuatkannya berasa tertarik untuk melakukan pembelian.
“Mangsa terus berurusan dengan pemilik akaun tersebut melalui aplikasi WhatsApp.
“Pemilik akaun memberitahu kucing itu berharga RM398 termasuk penghantaran dan mangsa bersetuju untuk membelinya,” jelas beliau.
Lanjutnya, mangsa kemudian melakukan pindahan wang ke nombor akaun yang diberikan.
Bagaimanapun, setelah pembayaran dibuat, mangsa diminta pula untuk membayar RM980 bagi urusan Kad ID kucing itu.
“Mangsa diberitahu jika gagal membuat bayaran, kucing tersebut akan ditahan oleh pihak Kastam.
“Mangsa yang rasa ditipu dalam urusan jual beli kucing telah buat laporan polis,” tambahnya.
Sehingga kini, mangsa dilaporkan masih belum menerima kucing terbabit.
Sumber: [1]