Para saintis kini sedang bersedia untuk mengkaji asteroid yang penuh dengan logam berharga, penemuan yang berpotensi menjadikan setiap individu di Bumi seorang jutawan.
Dikenali sebagai Psyche 16, asteroid ini pertama kali ditemui pada tahun 1852, dan pakar angkasa dengan penuh berminat ingin mengkaji astreroid berkenaan.
Satu-satunya halangan untuk para saintis adalah jaraknya yang jauh, iaitu 300 juta batu dari Bumi, dengan ia berputar di antara planet Marikh dan Jupiter, menjadikan kajian terhadap asteroid itu seakan mustahil untuk dilakukan.
Menurut laporan dari LadBible, asteroid ini dipercayai dilapisi dengan bahan berharga seperti besi, nikel, dan emas, dianggarkan bernilai USD 10,000 kuatrilion di Bumi. Untuk gambaran, jumlah itu setara dengan $10,000,000,000,000,000,000,000 USD, atau sekitar RM 45,635 kuatrilion, satu jumlah yang cukup untuk menjadikan setiap manusia di Bumi ini seorang jutawan.
Untuk melaksanakan misi ini, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) telah menyediakan sebuah kapal angkasa yang dijadualkan untuk dilancarkan pada 5 Oktober depan. Walau bagaimanapun, NASA menjelaskan bahawa matlamat mereka adalah untuk memperoleh konsep tentang pembentukan planet, bukannya mengeksploitasi sumber berharga asteroid tersebut.
Keunikan Psyche terletak pada penampilannya sebagai objek nikel-besi terdedah dari sebuah planet purba, menjadikannya sebahagian penting dalam sejarah sistem solar kita. NASA sangat bersemangat tentang pelancaran yang akan datang, menekankan bahawa ianya merupakan pencapaian penting dalam perjalanan mereka untuk meneroka asteroid kaya logam ini dan mempelajari lebih lanjut tentang pembentukan planet.
Misi enam tahun ini sepatutnya berlangsung pada tahun lalu, tetapi ditangguhkan disebabkan masalah pada kapal angkasa. Kini, selepas ujian menyeluruh, pakar telah memastikan bahawa kapal angkasa tersebut bersedia sepenuhnya untuk operasi yang lancar.
Kapal angkasa dijadualkan untuk dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy pada jam 10:38 pagi di atas roket SpaceX Falcon Heavy, yang direka oleh Elon Musk untuk membawa muatan ke orbit Bumi. Kapal angkasa tersebut kemudiannya akan bergantung pada tenaga solar untuk bergerak melepasi planet Marikh dan mengorbit Psyche 16 selama 26 bulan. Dalam tempoh ini ia akan mengambil gambar asteroid bernilai itu dan mengumpulkan data berharga.
Sumber: Daily Star