Kerelaan hati untuk menuruti kemahuan ibu tersayang, namun hilang pendirian hidup yang diimpikan merupakan kisah utama yang diketengahkan dalam telemovie terkini Astro Ria iaitu ‘Amshar Bukan Asha’. Telemovie terbitan I Fabulous Art Media & Event Sdn Bhd ini sarat dengan emosi dan tangisan yang mampu menyayat hati setiap penonton tentang kasih sayang seorang anak kepada ibunya.
Penceritaan berdurasi 96 minit ini mengisahkan Amshar, seorang remaja lelaki yang dijaga dan dididik dengan penuh kasih sayang oleh ibunya, Asmah. Namun berbeza daripada ibu-ibu yang lain, dia diasuh menjadi seorang yang berperwatakan lembut dan sopan, tidak menyerupai personaliti seorang lelaki. Malah, dia juga dipanggil dengan nama ‘Asha’ oleh ibunya sendiri. Walaupun terseksa dengan kutukan orang ramai tentang perwatakannya, Asha masih menuruti kemahuan ibunya kerana menyayanginya. Namun tindak-tanduk ibunya ini menolak impian Asha jauh daripada kehidupannya. Seperti remaja lelaki yang lain, Asha juga ingin bergaul dan bermain bersama mereka. Dia juga mempunyai minat dalam sukan bola sepak tetapi hanya boleh melihat dari jauh kerana segan tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman bermain sebelum ini atas menjaga perasaan ibunya. Dia terpaksa menuruti ibunya yang tidak gemar dengan perwatakan kelelakian kerana mengerti dengan perasaan dia yang mempunyai kisah silam yang buruk dengan suaminya.
Telemovie yang menterjemahkan aspek perasaan dan pengorbanan serta menyoal kesan penderaan rumah tangga ini mengangkat Naim Daniel sebagai Amshar atau Asha dan Farah Ahmad sebagai watak ibu iaitu, Asmah.
‘Amshar Bukan Asha’ merupakan arahan Eyra Rahman, pengarah yang dikenali ramai serta didukung oleh barisan pelakon yang berbakat seperti Syazwan Zulkifly, Haidar Hasanudin, Emma Sofea, Sahronizam Noor dan Raff Roslee.
Telemovie ini akan ditayangkan pada hari Ahad, 10 Julai 2022, jam 10.00 pagi secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang fleksibel.