‘Musim Sejuk’ Di Malaysia Akan Berterusan Hingga Februari

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip, cuaca sejuk di Malaysia dijangka akan berterusan sehingga Februari 2023. 

Kejadian ini adalah susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melibatkan perubahan angin sejuk dari tanah besar China dan juga pembentukan awan hujan yang berterusan bermula awal November.

"Jadi apabila awan hujan banyak, dari segi pancaran matahari agak terlindung yang menyebabkan suhu akan lebih rendah berbanding tempoh masa yang lain," tambahnya lagi. 

Menurut laporan Bernama, suhu terendah yang kemungkinan dialami negara, kawasan tanah rata di pedalaman seperti di Kelantan, Pahang dan Perak akan menjadi lebih sejuk berbanding kawasan lain.

Selain itu, Pakar Meteorologi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, juga ada mengatakan bahawa angin dari China memasuki Malaysia bermula awal November dan ia akan menyebabkan suhu serendah 22 darjah Celsius. 

“Perubahan angin monsun ini memang akan memberi kesan kepada suhu dan situasi ini akan turut dipengaruhi oleh geografi atau kedudukan sesebuah kawasan, sekiranya berada di tanah tinggi seperti Genting Highlands suhunya lagi sejuk,” kata Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Sumber: BERNAMA