Sukan Muay Thai Inspirasi Single Terbaru Aizat Amdan

Aizat Amdan, bukanlah figura asing dalam bidang seni suara, kini terjun pula ke bidang sukan Muay Thai, dan telah bertarung perlawanan pertama.

 

 “Saya sebenarnya sudah lama meminati sukan Muay Thai sejak tahun 2015 lagi dan gemar melihat peninju Muay Thai legendaris beraksi di gelanggang perlawanan, lalu saya mula berjinak- jinak menjalani latihan sehinggalah satu hari jurulatih memberitahu bahawa saya sudah bersedia untuk ‘fight’, tidak pernah terlintas di fikiran sehinggalah tarikh 12 Oktober lalu,” kongsi Aizat mengenai perlawanan Muay Thai pertamanya secara amatur.

 

Terbaharu, Aizat kembali dengan single berjudul “Tegap Berdiri” hasil ciptaannya sendiri bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa, terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE). Ditanya mengapa Aizat lama tidak muncul dengan mana-mana single, dia punya alasan sendiri. “Saya kurang gemar dengan ‘rilisan’ lagu yang bertubi-tubi, dan lebih rela mengambil masa merangka apakah langkah seterusnya dalam kerjaya saya sebagai penyanyi. Sebagai contoh, saya menghadkan kepada penghasilan 5 buah lagu sahaja dalam setahun.

 

Berbalik pada single, Aizat berkongsi idea tercetusnya lagu Tegap Berdiri berasal dari minatnya terhadap sukan Muay Thai yang diluahkannya ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast”, katanya, “Uniknya lagu ini lahir secara tidak sengaja ketika saya mengendalikan sesi podcast bersama Mel dan abang saya, Amar. Ketika itu, kami berbincang tentang hal-hal semasa, tentang zaman kegemilangan sukan bola sepak negra di sekitar tahun 1998, terdetik di hati, sekalipun kalah ‘di akhir nanti kau masih tegap berdiri’ yang menjadi bait-bait lirik lagu saya.

 

“Mesej lagu ini tentang perjuangan, ada kalanya menang dan ada kalanya kalah dalam hidup, sudah menjadi lumrah kehidupan di mana ada pasang surutnya, kadangkala naik dan turun, namun apa yang penting, kehidupan perlu diteruskan dengan minda yang positif. Aizat turut berkongsi single ini mengambil masa hampir setahun lamanya untuk dihasilkan, setelah melalui proses perbincangan, dengan minat terbaharunya dalam sukan Muay Thai, akhirnya lagu ini dipilih sebagai hantaran halwa telinga semua pendengar.

 

“Kali ini saya bawakan lagu dalam genre pop dengan pengaruh muzik ‘City Pop’ yang popular disekitar tahun 80-an di Jepun. Saya olahkannya dalam versi sendiri dengan melodi masakini, lalu saya gelarkannya ‘KL-City Pop’.

 

Akhiri Aizat Amdan: “Saya berharap agar semua yang mendengar single ini akan terhibur, Dengarkan ketika bersenam, sama ada di rumah mahupun gim, ataupun ketika merasa ‘down’. Ingatlah untuk mencabar diri dengan sesuatu yang baharu, biarpun kalah namun bangkit semula dan ‘tegap berdiri’.