Beberapa hari yang lalu, tujuh jenazah yang maut akibat COVID-19 didapati hilang dari kuburnya di Parepare, Sulawesi Selatan dekat Indonesia, hingga ia menggemparkan penduduk setempat.
Perkara itu mendapat perhatian pihak berkuasa dan membawa kepada penahanan enam orang suspek lelaki.
Mengejutkan apabila selepas disiasat, mereka mengakui bermimpi dan berjumpa dengan si mati dan meminta jasad mereka untuk dialihkan ke tempat lain.
Memetik hantaran dari Tribunnews, suspek mengakui menerima amanah daripada keluarga untuk memindahkan jasad berkenaan dan dikebumikan di kawasan lain.
Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Sulawesi Selatan E Zulpan.
"Mereka merasakan ia adalah satu amanah dan mereka kemudian menggali serta memindahkan jenazah berkenaan," katanya.
Kesemua enam suspek dikatakan mempunyai hubungan saudara dengan salah satu jasad yang dialihkan.
Sebelum ini, penduduk sekitar Parepare kecoh apabila tujuh kubur mangsa COVID-19 didapati digali dan kesemua jenazah hilang dengan tiba-tiba.
Sumber: Tribunnews