Demi Sambung Belajar, Jelitawan Miss Universe Thailand Ini Sanggup Tarik Diri Di Saat Akhir

Demi menyambung pengajian ijazah, seorang peserta yang dijangka menjadi finalis Miss Universe Thailand, Perpetua Sermsup Smith sanggup menarik diri daripada kejohanan ratu cantik itu.

demi sambung belajar, calon miss universe thailand sanggup tarik diri di saat akhir

Jelitawan berusia 24 tahun yang juga mesra disapa Peppy itu mengumumkan keputusan tersebut pada lewat malam Selasa lalu, iaitu hanya beberapa jam sebelum pertandingan Miss Universe Thailand dimulakan.

Peppy dilaporkan menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam pemasaran di Universiti Harvard.

Penarikan diri itu diumumkan pengarah pertandingan itu sendiri, iaitu Piyaporn Sankosik menerusi satu siaran langsung yang diadakan dalam talian.

Menurut Piyaporn, sekiranya Peppy berjaya menjadi finalis 10 teratas, dia bakal terikat dengan kontrak yang menghalangnya daripada mengejar perkara lain.

Dalam siaran sama, Peppy turut muncul di samping Piyaporn, dalam keadaan sebak, bagi memohon maaf kerana menamatkan perjalanannya dalam pertandingan ratu cantik itu serta berterima kasih kepada penyokongnya.

Jelasnya, melepaskan pertandingan itu adalah salah satu keputusan tersukar yang pernah dibuatnya namun dia tekad untuk meneruskan pendidikannya.

“Saya benar-benar ingin mengatakan saya sangat, sangat memohon maaf,” kata Peppy.

“Saya tahu betapa anda menyayangi dan menyokong saya, dan ia lebih daripada yang saya jangkakan, tetapi saya berhasrat melepaskan sebarang potensi penempatan dalam lima teratas,” katanya.

 

Sumber: Coconuts