MIASA Malaysia baru sahaja menyambut ulang tahun ke-7 dengan penganjuran sebuah majlis santai tapi bermakna bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby. Ramai tetamu kehormat dan rakan kongsi yang menyokong perjalanan MIASA turut hadir, termasuk rakan-rakan media.
Dengan bertemakan ‘7 Tahun Advokasi: Memperkasakan Suara, Memartabatkan Kehidupan’, MIASA menggunakan acara ini untuk melihat kembali perjalanan mereka dan berkongsi pencapaian penting yang telah dicapai sepanjang tujuh tahun beroperasi.
Puan Anita Abu Bakar, Pengasas dan Presiden MIASA Malaysia, meluahkan rasa syukur dan gembiranya.
“Jujur, saya sangat terharu dapat menyambut anda semua hari ini. Perjalanan kami penuh dengan cabaran, tetapi kami masih di sini berdiri teguh. Hari ini, kita raikan hubungan yang kita bina bersama, dan langkah besar yang kita ambil dalam usaha mencipta masyarakat yang lebih menerima dan menyokong mereka yang menghadapi cabaran kesihatan mental,” katanya.
Beliau juga turut berkongsi tujuh pencapaian utama MIASA sepanjang tujuh tahun ini, antaranya:
- Kestabilan Kewangan: MIASA berjaya memperoleh lebih daripada RM3.7 juta menerusi geran, projek, dan sumbangan dalam tempoh lima tahun lalu.
- Kerjasama Bermakna: MIASA menjalinkan kerjasama erat dengan kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, dan Kementerian Belia & Sukan, serta sokongan daripada Yayasan Sime Darby dan Yayasan Hasanah.
- Sambungan Penjagaan: MIASA memberi penekanan kepada penjagaan berfokuskan komuniti dengan menerima kira-kira 1,200 interaksi bulanan melalui Talian Krisis dan inisiatif seperti Santai Minda Sihat yang disokong oleh Axiata dan Food4U.
- Advokasi: Pelancaran kempen berkesan seperti #WhatWeNeed, #OKURightsMatter, dan #UnlockYourStory.
- Peningkatan Jenama & Pendedahan: Peningkatan kehadiran media dengan podcast seperti "Real Conversations with Anita" dan kerjasama dengan SYOK serta Suke TV.
- Pembangunan Kapasiti: MIASA berjaya melatih lebih 250 responden krisis melalui program ASIST T4T.
- Pengiktirafan: MIASA telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah termasuk Patient Champion in Science and Medicine di Metrodora Awards.
Yang lebih menarik, MIASA turut mengumumkan kolaborasi hebat dengan ASTRO Shaw untuk drama bersiri "Project Exit", yang akan menampilkan isu-isu kesihatan mental dalam konteks Malaysia. MIASA bukan sahaja menjadi perunding dalam menggambarkan cabaran kesihatan mental dengan tepat, tetapi juga akan bekerjasama dengan ASTRO Shaw untuk meningkatkan kesedaran melalui media sepanjang beberapa bulan akan datang.
Bukan itu sahaja, drama bersiri “Projek Exit” turut akan tampil dalam versi audiosiar atau lebih dikenali sebagai “Podcast”, kolaborasi bersama MIASA Malaysia, Astro Shaw dan juga SYOK. Podcast enam episod ini bakal membawa pelbagai topik berkenaan kesihatan mental seperti yang ditonjolkan dalam drama bersiri “Projek Exit”, bersama pelakon-pelakon hebat mereka seperti Shasha Abedul, Naim Danial, Amirul Aiman dan ramai lagi. Nantikan podcast ini di SYOK dan semua media sosial Astro Shaw pada November depan.
Dalam pada itu, MIASA berkata mereka akan terus komited untuk membina masa depan di mana semua orang mempunyai akses kepada sokongan kesihatan mental dan tiada sesiapa yang ketinggalan.