Penularan mesej palsu kini dilihat semakin menjadi isu utama dalam era digital ini. Fenomena ini terjadi melalui pelbagai platform media sosial dan saluran komunikasi digital, membolehkan maklumat palsu tersebar dengan cepat dan meluas.
Terbaharu, satu lagi mesej palsu tular kononnya ada bantuan percuma RM1,000 yang akan dimasukkan dalam kad pengenalan (MyKad), yang kini tersebar menerusi aplikasi Telegram.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), mesej berkenaan adalah palsu dan tidak benar, malah ia boleh menyebabkan salah guna data sekiranya ada yang terpedaya.
“Ini adalah palsu! Kementerian Kewangan menegaskan bahawa bantuan percuma RM1,000 dimasukkan ke dalam MyKad yang tersebar di Telegram adalah palsu.
“Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan berita-berita sebegini. Jangan sesekali tekan pautan yang tidak pasti,” demikian menurut MOF.
Mesej palsu yang tular itu turut menyertakan pautan yang tidak ditentusahkan, dan meminta pengguna untuk memasukkan nombor kad pengenalan, kononnya sebagai semakan.
Orang ramai sekali lagi dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan mesej palsu ini dan sentiasa memastikan data peribadi berada dalam keadaan yang selamat.
Sumber: MOF