Tonggak sayap skuad kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid mengaku barisan pemain negara ingin membuktikan kemampuan bakat tempatan dalam kempen kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura.
Menurut Akhyar yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), faktor tersebut menjadi punca kepada prestasi memberangsangkan skuad Harimau Malaya yang membenam Kemboja 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Bishan, petang semalam.
"Untuk perlawanan petang ini (Isnin) kami (pemain tempatan) berikan yang terbaik sebab pemain tempatankan, jadi kami nak tunjuk apa yang kami ada," katanya.
Tambahnya, perbezaan antara skuad Harimau Malaysia beraksi di Piala AFF 2020 dan skuad sebelumnya adalah jumlah pemain tempatan yang lebih dalam pasukan menyaksikan Guilherme De Paula menjadi pemain naturalisasi tinggal dalam skuad kebangsaan di Singapura.
Semalam, Akhyar berjaya menumpaskan pertahanan Kemboja sehingga beliau dijatuhkan kotak penalti sekaligus membolehkan Muhammad Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama skuad negara pada minit ke-23.
“Syukur Alhamdulillah untuk persembahan pasukan dan diri sendiri, apa yang penting kami telah buat terbaik dan beri 100 peratus seperti yang dikatakan jurulatih. Separuh masa pertama kami sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri tetapi berjaya mengatasinya di separuh masa kedua,” kongsinya.
Beliau kemudian berjaya menjaringkan gol daripadanya sendiri pada minit ke-61 menerusi gerakan serangan balas yang menyaksikannya memperdayakan dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan menewaskan Keo Soksela di gawang.
Malaysia bakal menentang Laos pada Khamis ini sebelum berdepan dengan juara bertahan Vietnam pada 12 Disember dan menutup saingan kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember.
Sumber: [1]