Seorang pemilik rumah terkejut apabila mendapati penyewanya meninggal dunia dalam rumah tersebut selepas gagal dihubungi.
Menurut laporan, mangsa yang merupakan seorang guru wanita berusia 55 tahun, dipercayai sudah meninggal dunia lebih 10 hari, sebelum ditemui pemilik rumah pada jam 5.40 petang, kelmarin.
Pemilik, Mohd Asyraf Bakri, 30, berkata beliau dan ibunya berkunjung ke rumah sewa yang terletak di Pengadang Baru itu selepas mereka gagal menghubungi mangsa sejak 21 Disember lalu.
“Niat kami untuk meminta duit sewa selain risau dengan keadaannya memandangkan dia yang sudah 13 tahun menyewa gagal dihubungi.
“Sebaik tiba di rumah tersebut, kami berasa tidak sedap hati selepas terhidu bau busuk sebelum memohon bantuan polis untuk membuka pintu,” katanya.
Menurut Asyraf, sebaik pintu dibuka, mereka terlihat mayat guru wanita tersebut berada dalam keadaan terbaring di tepi dinding.
“Arwah yang masih bujang sudah menyewa rumah ini sejak 13 tahun lalu. Dia kurang bergaul dan kebanyakan pergerakannya menggunakan kereta sewa (e-hailing),” katanya lagi.
Pihak polis yang menjalankan siasatan awal percaya kematian mangsa tiada kaitan dengan unsur jenayah dan mengklasifikan kes sebagai kematian mengejut.
Sumber: Kosmo!