Masih #OleOut ?

masih #oleout ?

Manchester United kembali berada di persada Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 3 tahun.

The Red Devils menang tipis 1-0 ke atas Burnley sekaligus mendahului juara bertahan, Liverpool dengan 3 mata hasil jaringan Paul Pogba.

Tak lama dahulu, segelintir penyokong United mendesak agar Ole Gunnar Solskjaer meletak jawatan sebagai pengurus ekoran prestasi buruk ketika diaibkan Tottenham 1-6 di Old Trafford, Oktober lalu.

Solskjaer sekali lagi dikritik hebat apabila anak buahnya tewas 0-1 kepada Arsenal pada awal November juga di Old Trafford.

Namun, United seakan-akan tersedar dari lamunan selepas kekalahan tersebut apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Everton di Goodison Park.

Bermula daripada perlawanan itu, United berjaya harungi 11 perlawanan liga tanpa kalah biarpun tersingkir daripada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

masih #oleout ?

Solskjaer juga mahu anak buahnya terus bekerja keras dan fokus mengharungi setiap perlawanan mendatang.

Dia yang juga bekas penyerang United enggan terlalu fikirkan peluang pasukannya untuk muncul juara kerana perjalanan liga masih belum tiba di pertengahan.

Jadi, perlu diulang semula soalan yang diajukan ketika United berdepan krisis sebelum ini. Adakah Solskjaer individu yang tepat untuk membawa United kembali ke era kegemilangan seperti yang dilakukan oleh Sir Alex Ferguson atau Sir Matt Busby?

Jawapannya hanya akan hadir pada penghujung musim ini dan bergantung kepada pencapaian United.

Ketika dilantik menjadi pengurus United, Solskjaer berjanji akan membawa pasukan ini kembali ke tempat yang sepatutnya iaitu antara pasukan yang akan bersaing merebut kejuaraan.

masih #oleout ?

Solskjaer telah membimbing United ke 4 aksi separuh akhir piala domestik dan kali ini membawa The Red Devils ke puncak liga. Mungkin pihak pengurusan dan penyokong United perlu berikan sedikit masa lagi kepada pengendali dari Norway ini.

Kalau Pep Guardiola dan Jurgen Klopp pun perlukan masa untuk bawa kejayaan kepada Manchester City dan Liverpool, kenapa tidak Solskjaer?

masih #oleout ?

Solskjaer dan Manchester United bakal berdepan tugas getir apabila bertandang ke Anfield untuk berdepan Liverpool, 18 Januari ini dalam aksi liga.

Adakah United mampu mengekalkan kedudukannya di puncak dan melebarkan rekod tanpa kalah mereka? Atau adakah juara bertahan, Liverpool akan merampas segalanya dari United?

Jika United berjaya catat keputusan positif pada perlawanan tersebut, adakah #OleOut akan terus berkumandang atau kesemua penyokong United kembali berdiri di belakang Solskjaer?

Oleh: Karami Kamel