Pengasas Amazon dan juga Blue Origin, Jeff Bezos meramalkan manusia di masa hadapan akan hidup dan tinggal di angkasa lepas dan hanya mengunjungi Bumi untuk bercuti.
Menurut beliau, manusia akan dilahirkan di angkasa lepas dan hidup dalam silinder terapung gergasi dalam beberapa abad akan datang.
Menurutnya lagi, silinder yang menjadi kediaman manusia di masa hadapan itu akan menempatkan sejuta orang dengan graviti yang dicipta semula menyerupai persekitaran Bumi, lengkap dengan sungai, hutan dan hidupan liar serta cuaca yang bersesuaian.
Beliau membuat kenyataan itu ketika tampil mengejut dalam satu perbincangan mengenai dasar angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), bersama Pentadbir Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Bill Nelson serta Pengarah Perisikan Kebangsaan, Avril Haines.
“Ramai orang akan lahir di angkasa lepas dan ia akan menjadi rumah pertama mereka dalam tempoh beberapa abad akan datang.
“Mereka akan dilahirkan di koloni itu, tinggal di koloni tersebut dan kemudian mereka akan mengunjungi bumi seperti melawat Taman Negara Yellowstone,” katanya.
Jeff sebelum ini pernah melontarkan idea mengenai habittat di angkasa lepas yang dikenali sebagai koloni O’Neill. Nama itu diberikan sempena nama ahli fizik, Gerard O’Neill yang pernah mengemukakan teori bahawa planet lain mungkin boleh menempatkan manusia di luar Bumi.
Sumber: [1]